KRISIS kewangan dan bebanan hutang yang melanda negara Eropah memberi ruang terbaik kepada pembangunan sektor kewangan Islam negara apabila mencatatkan lebih 60 peratus penguasaan pasaran sukuk terbesar daripada terbitan sukuk global pada tahun ini.
Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, krisis itu menunjukkan sistem kewangan Islam mempunyai kekuatan untuk menghadapi pelbagai situasi ekonomi dunia yang tidak dapat dijangka berbanding sistem kewangan konvensional.
“Sistem kewangan Islam di Malaysia menjadi satu-satunya sistem yang lengkap di dunia dan dilaksanakan seiringan dengan sistem konvensional serta membolehkan negara menjadi model untuk pusat kewangan terkemuka yang lain.
“Mentaliti mengenai sistem kewangan Islam yang sering dilihat sebagai pihak pembiaya atau memberi pinjaman perlu diubah kepada rakan kongsi pintar dan usahawan mampu menonjolkan lagi kekuatan sektor itu,” katanya pada Seminar Kebangsaan Kesan Sistem Kewangan Islam di Malaysia Terhadap Kekuatan Ekonomi Ummah: Satu Penilaian yang dirasmikannya di Kuala Lumpur.
Seminar itu dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) untuk mengkaji secara mendalam sumbangan sistem kewangan Islam di Malaysia kepada kepada kekuatan ekonomi ummah, meninjau sejauh mana amalan pematuhan syariah dalam sistem kewangan kini bertepatan dengan Maqasid Syariah dan meneroka pendekatan baru untuk menambah baik sistem.
Katanya, konsep perkongsian risiko dibawa oleh kewangan Islam amat releven kepada Malaysia ketika ini berikutan hasrat kerajaan untuk menghasilkan sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. “Hasrat kerajaan ini turut disokong sektor baru berteknologi tinggi seperti bioteknologi, nano teknologi, animasi dan teknologi maklumat, tenaga hijau dan tenaga diperbaharui,” katanya.
No comments:
Post a Comment